Monday, May 21, 2007
Bab 42 - Seandainya...

     Komputer di hadapannya direnung lama. Ideanya putus. Kamus ceritanya  kontang lagi. Areesa tarik nafas panjang-panjang. Mencari konsentrasi untuk kembali menaip bait-bait kata di atas skrin. Walau apapun cerita itu harus disambung.  Petang semalam Idham, teman yang meminta sebuah novel darinya untuk diterbitkan menggesa dia menyempurnakan juga cerita itu akhir bulan ini. Meskipun agak sukar untuk Areesa memenuhi permintaan temannya itu, namun  dia tidak sampai hati untuk menolak.

            Seketika kemudian irama Winter Sonata berkumandang perlahan dari handphonenya. Areesa mencapai handphone dan segaris senyuman yang bermakna terukir di bibir bila melihat nombor Wan Zaharris tertera.

            "Belum tidur?"

            Areesa tahan nafas. Hatinya sejuk seketika tatkala suara itu menyelinap masuk ke dasar hati. Entah mengapa bibirnya tiba-tiba terkunci. Apa yang dirasakan olehnya ketika itu adalah bunyi degup jantungnya yang kencang. Sekencang angin malam di luar, seolah hujan lebat akan turun menyiram bumi seketika nanti.

            "Areesa? Are you there?" Suara itu kedengaran lagi di hujung talian. Namun Areesa merasakan pemilik suara bagaikan berada di depan mata. Areesa cepat-cepat sedar dari keadaan itu.

            "Ehmm…yes…I...Harris?" Areesa tidak mampu mencari kata-kata. Kamus bahasa dalam minda bagai kehilangan perkataan. Hati makin kuat berdebar. Areesa pejam mata tidak sanggup untuk mengakui betapa hatinya terlalu gembira menerima panggilan lelaki itu ketika itu.

            "Who do you have in mind, expecting someone else?" kedengaran Wan Zaharris bertanya perlahan. Areesa gigit bibir. Mana pula perginya bicara.

"Tak suka I call ke ?"

            "Tak adalah,"

            "You sound  speechless?"

            Areesa mengumpul kekuatan. Dia tidak mahu Wan Zaharris menyedari kegugupannya ketika itu. Malah dia sendiri tidak pasti mengapa harus dia berasa gugup mendengar suara Wan Zaharris ketika itu. Kesunyian mengambil tempat bila masing-masing membisukan diri seketika. Masing-masing sebenarnya saling menduga  dan menanti reaksi.

            "Mak I call semalam." kedengaran Wan Zaharris membuka cerita.

            "Ye? Dah rindukan anaknyalah tu ye? Bukan you baru je balik kampung ke?" Areesa kembali memperolehi kewarasan emosinya.

            "Itulah…dia bising suruh I kahwin."

            "Iye? Kelakarnya. I fikir hanya orang perempuan je yang mak ayahnya bising suruh kahwin. Lelaki pun sama? Dah tu, apa lagi you tunggu? Pilih ajelah satu daripada girlfriend  yang  you ada sekarang. Susah sangat ke?" Areesa menyakat.

            "Memanglah tak susah…tapi you tahulah mak I tu, orang kampung. Girlfriends I semua tu kalau I bawak balik jumpa dia tentu first round je dah kena kick out."

            "Hmm…kenapa…?" Areesa bertanya lambat-lambat. Dia gigit bibir. Entah mengapa dia merasakan hati perempuannya seperti mengharapkan sesuatu.

            "Mana taknya, karang dibuatnya perangai masing-masing dengan skirt masing-masing. Tak ke mak I pengsan bila tengok. Paling tidakpun I tentu kena belasah keliling kampung." ujar Wan Zaharris dengan nada berjenaka.

            Areesa ketawa tiba-tiba. Tawa yang sebenarnya lahir tanpa diduga oleh dirinya sendiri. Kata-kata  Wan Zaharris itu membuatkan Areesa membayangkan keadaan sebenar kiranya dia dibelasah oleh si ibu. Areesa masih ketawa dan ketawa.

            Di hujung  talian sana Wan Zaharris yang sedang berbaring di atas katilnya menarik nafas panjang. Tawa Areesa masih belum mereda, tidak membenarkannya untuk terus berbicara. Namun hakikatnya Wan Zaharris ingin terus mendengar suara dan tawa itu.  Areesa jarang sekali ketawa. Apatah lagi ketawa lepas seperti itu. Hati lelakinya membara dengan keinginan. Keinginan untuk menatap keceriaan wajah Areesa ketika itu.

            "Macam mana agaknya kalau you kena belasah dengan mak you ye?" Areesa berkata di celah tawa yang mereda.

            "Dah habis ketawa ke ? Ketawalah lagi…" Wan Zaharris mengusik.

            Areesa tersenyum,"Tak naklah, penat pula ketawakan you."

            "Alah…ketawalah. I  nak dengar lagi." Wan Zaharris bersuara lagi. Dia turut tersenyum membayangkan wajah gadis itu yang mungkin akan tersenyum. Marah? Tidak, Wan Zaharris tahu gadis itu selalu berusaha menyembunyikan kemerahan wajahnya. Seperti yang selalu dilihatnya ketika di pejabat.

            "OK I  ketawa sekarang, dengar ye…hih..hih…hih…" Areesa sengaja menyakat.

            "Tak mahu ketawa macam tu. Ketawa macam yang  you ketawa tadi. Identiti you tadi tu…jangan jadi orang lain. I suka you seperti you yang seadanya Areesa." nada itu kembali rendah dan perlahan.

            Areesa terdiam, hatinya bagai dipukul badai. Untuk kesekian kali hatinya merasai pukulan seperti itu. Areesa tahu lelaki itu masih menduga kekuatannya. Dia tarik nafas panjang dan dalam. Berperang dengan keinginan sendiri.

            "Tak naklah…balik cerita you tadi. You kenalah tahu macam mana nak tackle emak you sendiri. Kalau you bawa girlfriend you jumpa dia, janganlah suruh dia pakai skirt. Untuk you tak apalah kan…?"

            "Dahnya masing-masing memang macam tu."

            "Tapi kalau nak dapat persetujuan mak you kenalah ikut cara dia sekejap."

            "Itu dah jadi berpura-pura namanya. I tak mahulah yang macam tu. Ingat tak dulu you juga yang pernah cakap nak pilih teman hidup ni kena ikhlas bukan sebab excited tak tentu pasal." Wan Zaharris berkata lagi.

            Areesa  kehilangan kata-kata buat kesekian kali.

            "Lainlah kalau you yang jumpa mak I  kan…?" Wan Zaharris berkata lagi bila menyedari Areesa bagai kehilangan kata-kata di hujung talian. Dia tahu dia sudah berjaya menggugat hati gadis itu biarpun dia tidak pasti sejauh mana kejayaannya ketika itu.

            Sikap Areesa yang masih membisu membuatkan Wan Zaharris menjadi semakin sakit hati. Sukar benar untuknya mendengar pengakuan atau sebarang kata-kata yang boleh memberinya petunjuk.

            "OKlah…tomorrow I kena tengok site. You pun kena masuk office kan? Better have good sleep."

            "Yeah…"

            Kesunyian suasana mencelah lagi seperti setiap kali. Masing-masing bermain dengan waktu. Masing-masing menduga dan mengharap setiap seorang dari mereka akan berkata sesuatu yang boleh memberikan sinar. Namun kebisuan masih menyelubungi. Masing-masing mereka kemudian menarik nafas panjang.

            "Ok…" kata Wan Zaharris sepatah.

            "OK..."  balas Areesa juga sepatah.

            Dan tiba-tiba mereka ketawa serentak.

            "OK...good night, take good care and…" Wan Zaharris terhenti.

            Areesa tarik nafas. Keberatan untuk memutuskan talian. Keberatan untuk  kehilangan suara itu. Keberatan untuk melalui sepanjang malam tanpa mendengar suara itu. Gila! Hatinya berdetik marah kepada perasaanya sendiri. Perasaan yang selalu dinafikannya.

            "I love you…" ujar Wan Zaharris perlahan.

            I… kata-kata yang baru akan diungkapkan oleh hati kecil Areesa tiba-tiba terputus sendiri. Dan talian pun putus.



Posted at 08:14 am by nawrys
Make a comment  


******************************


Tuesday, May 15, 2007
Bab 41 - Seandainya...

    Pagi  Isnin itu Areesa lewat ke pejabat kerana  mengembalikan dokumen perjanjian  dana-niaga ke pejabat Saiful Azahari. Areesa sengaja menyerahkan dokumen itu kepada salah seorang kakitangan bank, enggan menemui Saiful. Memang sengaja mengelakkan pertemuan kerana Areesa tahu tiap kali mereka pertemuan mereka pastinya ada sahaja dokumen yang perlu dibawa ke pejabatnya dan kemudian diserahkan kembali kepadanya. Suatu alasan Saiful untuk menemuinya berulang kali. Sewaktu menjejak kaki di tingkat satu, pejabatnya itu lengang tanpa kakitangan. Areesa melihat jam di tangan, sudah pun hampir jam 10.

            Eh, takkan semuanya cuti serentak? bisik hatinya. Areesa kemudian mendengar suara ramai yang bergelak ketawa dari arah pantry. Pantas menghayun langkah. Perlahan-lahan dia menolak pintu pantry dan tersenyum melihat gelagat teman-teman sepejabatnya yang sedang  riuh mengelilingi sebakul buah-buahan. Menyedari kehadiran Areesa kesemua mereka terhenti dan tersenyum memandang eksekutif mereka itu.

            "Kak, marilah joint makan buah. En. Harris  bawa dari kampung dia. Best ni. Banyak buah!" ujar Rizal kebudak-budakkan.

            "Manisnya buah ni Areesa. Bestlah…baiknya Harris, tak pernah ada orang bawa buah untuk kita dari kampung kan?" TJ pula mencelah sedang yang lain-lain cuma tersengih-sengih  sambil mengupas buah-buahan sebiji demi sebiji.

            Areesa cuma mampu tersenyum dan menggeleng kepala. "Macam-macamlah you all ni…kalau ia pun pakai shiftlah, tu telefon yang berdering-dering tu siapa nak jawap tu. Sat lagi Mr. Cheung keluar macam mana?"

            Mendengar Areesa menyebut nama Mr. Cheung, tangan masing-masing terhenti dari aktiviti mereka mengupas dan memakan buah. "Tapi…" Rizal menyebut perkataan itu dengan panjang .

            "Tapi apa…?" Areesa berkata lagi sambil tersenyum bersandar di muka pintu.

            Rizal dan kesemua yang lain mengarahkan tangan  menunjuk ke suatu sudut. Areesa perlahan-lahan mengikut arah yang ditunjukkan oleh teman-temannya itu.  Nafas Areesa terhenti, terpempan dengan apa yang dilihatnya di sudut pantry di balik dinding. Areesa tutup mulut menahan ketawa bila melihat Mr. Cheung sedang  asyik menikmati ulas-ulas durian dan rambutan yang dikhaskan untuknya di atas meja. Tidak menyedari kehadirannya.

            "Masya-Allah…dia pun…?" Areesa bertanya perlahan sambil menahan tawa.

            "Yalah…beria-ia benar dia makan. Tak ingat dunia nampaknya tu. Dia hairan tengok buah-buahan banyak macam ni. Tadi dia siap pesan kat En. Harris, bila balik kampung lagi nanti bawa dia sama." ujar Maria pula sambil ketawa.

            "Kalau macam ni, kita semua buat satu rombongan hujung minggu ikut En. Harris balik kampung makan buah. Amacam ?" usik Rizal lagi sambil mengenyit mata pada Robert yang dari tadi hanya senyum sahaja.

            "Bukan setakat makan buah je Rizal, kita buat rombongan makan nasi minyak lah juga. Kan Areesa ?" Robert bersuara mengusik.

            Areesa hanya mampu tersenyum sambil menggelengkan kepalanya kepada Robert yang masih memandangnya penuh makna. "Pandailah you…OK lah enjoy your fruits, I'll take care of the calls. Mr.Cheung…Mr.Cheung…!" panggil Areesa dengan nada sedikit kuat.

            Mr. Cheung tersentak dari keasyikannya menikmati buah-buahan. Dengan tangan yang berlumuran durian dia mengalih ke arah Areesa dan menunjukkan ibu jari menunjukkan isyarat best kepada Areesa. "Enjoy yourself, but 11.30 you have appointment with George Martin, make sure you're fit enough by that time." usik Areesa. Mr. Cheung tiba-tiba teringat sesuatu. Mereka semua tersenyum gelihati.

            Tatkala Areesa hendak berpaling, Rizal bertanya, "Cik Areesa tak nak makan ke? Rugi nanti kalau tak rasa. Bukan senang nak dapat, jauh buah ni datang ni Cik Areesa!"

            "Rizal, untuk Cik Areesa kita tak payah risau. Tentu dah ada yang lebih special, lagipun dia apa nak hairan, nantipun dia akan selalu balik sana jugakan Areesa?" masih juga Robert mengusik.

            Areesa hanya tersenyum lalu beredar pergi.

 

     Beg tangan dan briefcase diletak di sudut meja. Sambil menyandarkan belakangnya ke kerusi empuk, Areesa kemudian menyedari bibirnya masih menguntum senyuman. Senyuman  yang masih kekal di bibir dan hati dari usikan Robert sebentar tadi.

            Cepat-cepat Areesa menstabilkan perasaan dan segera menekan suis komputer. Ketika menunggu skrin komputer hidup, Areesa melihat sebuah bungkusan kecil di tepi meja sisinya. Areesa tersenyum lagi. Kotak telefon di hujung meja kemudian dipandang. Dia menggigit bibir. Jarinya bagai akan menekan nombor sambungan bilik Wan Zaharris  namun segera pula hatinya mempersoalkan kewajaran tindakan itu.

            Nak interkom buat apa? Nak tanya apa? Nak cakap terima kasih? Malulah…hati perempuannya berbisik di dalam menghalang hasrat yang baru berputik. Sudah empat hari Wan Zaharris tidak ditemuinya. Selepas mesyuarat PPG Rabu lepas, Wan Zaharris bercuti untuk balik kampung. Entah mengapa ketika itu dia terasa seperti merindui kehadiran lelaki itu. Entah mengapa ketika itu juga dia merasa bagaikan sudah terlalu lama tidak menatap wajah dan mendengar suara mesra lelaki itu.

            Ketika membaca suratkhabar di ruang rehat petang Rabu lepas, Wan Zaharris ada memberitahunya yang dia akan bercuti balik ke kampung. Namun sengaja Areesa  bersikap endah tak endah. "Balik kampung…?" tanya Areesa perlahan sambil terus meneliti suratkhabat The Star tanpa memandang Wan Zaharris yang bersandar malas di sofa di hadapan Areesa.

            "Ha ah…dah lama rasanya I tak balik. Terasa rindu pulak kat mak I." ujar Wan Zaharris perlahan juga.

            Areesa tersenyum, masih meneliti suratkhabar, "Ye ke? Ke rindu kat siapa ni?" usik Areesa pula.

            "Areesa…I rindukan emak I lah betul…tak ada sesiapa yang I rindukan selain dia dan…" Wan Zaharris terdiam seketika sambil mengerling ke wajah gadis di depannya itu.

            Areesa masih tersenyum juga, sudah dapat meneka ke mana maksud kata-kata itu.

            "Sudahlah tu…berhentilah senyum tu Areesa. I tak boleh tengok you senyum macam tu." kata Wan Zaharris kemudiannya.

            Sambil mengerling hujung mata memandang wajah lelaki itu, Areesa cuba menahan senyuman dan bertanya nakal, "Kenapa, teruk sangat ke sampai you tak sanggup tengok I senyum?"

            Wan Zaharris ketawa sambil mengusap rambut dan melepaskan keluhan panjang.

            Tanpa sedar Areesa sudahpun menekan nombor sambungan bilik Wan Zaharris. Selepas tiga kali dering pun masih belum berbalas. Wajah Areesa berubah seperti mana hatinya yang seakan berdebar menantikan Wan Zaharris mengangkat telefonnya.

            "Ah hah! Interkom siapa tu?" suatu suara itu mengejutkan Areesa.

            "Robert! Boleh tak jangan jahat! Tengok tu tak ketuk pintu pun…" Areesa sedikit marah sambil cuba meneutralkan riak di wajah.

            Robert ketawa sambil melabuhkan punggung ke atas kerusi di depan Areesa. Sambil bersandar dengan kaki bersilang dan kedua belah tangan di atas lengan kerusi, Robert masih ketawa memandang Areesa, " Nak ketuk apa, tak tutup pun pintu tu,"

            "Eh, ye ke?" Areesa  kerut kening sambil meletakkan semula gagang telefon.

            "Yelah, nak cepat tengok apa cik abang bawa dari kampung kan?" usik Robert lagi sambil sepasang matanya mengerling ke arah sebungkusan  buah-buahan di atas meja sisi Areesa. Jurutera China itu tersenyum juga.

            "So how's your weekend?" tanya Robert sambil mengusap-usap dagu memandang Areesa  dengan nakal.

            Areesa kerut kening, hairan dengan pertanyaan itu. "My weekend? Mana ada weekend, Saturday full day I di office apa. Sunday morning pun I di sini."

            "Oh…I thought you balik kampung ikut dia?" Masih juga Robert bermain sorong-tarik kata.

            Areesa  tiba-tiba dapat mengesan motif kata-kata itu, segaris senyuman terukir di bibir. Dia tahu apa yang sedang dilakukan oleh temannya itu dan Areesa sesekali tidak akan membiarkan dirinya ditewaskan oleh permainan kata-kata itu. "Balik kampung? Ikut dia? Who?" Areesa berpura-pura hairan. Jari-jemarinya pantas menyusun beberapa helai kertas dan fail-fail yang agak tidak kemas letaknya.

            "He told me he took you balik kampung to see his parents. Seek approval is it? So how?" Robert masih juga tersenyum amat nakal.

            Areesa tersedak kecil, "I really …."

            "You really happy, aren't you? I'm happy for you too dear sis." Robert memintas kata dan bingkas bangun dari kerusi.

            "Perut sudah penuh dengan buah-buahan, terasa mengantuk pulak. So I'd better off to site." ujar Robert tidak mengendahkan Areesa yang masih tercengang kehairanan dengan sikapnya itu.

            Ketika membuka pintu, Robert tiba-tiba bagai teringat sesuatu lantas berpaling ke arah Areesa semula, "Oh ya…no need to intercom him lah...he's not in the office. Dia dah pergi PG,  for three days.  You tak tahu meh ?" Robert mengerutkan wajahnya nakal.

            Areesa buat-buat tidak dengar sambil menyusun kertas-kertas di atas meja.

            "Macam mana you boleh tak tahu meh?" Robert mengerutkan kening dengan wajah yang nakal,  "I thought dia mesti minta permission you dulu before going anywhere?" sambungnya lagi dengan senyuman.

            "Robert!..."

            Robert bilang jari, "So tujuh harilah tak nampak dia kan? You miss him?" usiknya.

            "No I'm not ! Why should I…"

            "I take it as yes, you miss him. Bye sweetie. Actually he asked me to take care of you while he's away. So you better stay put baby." Robert ketawa kecil dan segera menutup pintu mengelakkan dirinya dari terkena balingan sebuah buku nipis yang dilemparkan oleh Areesa.


Posted at 08:35 am by nawrys
Make a comment  


******************************


Thursday, May 10, 2007
Bab 40 - Seandainya...

      Kepalanya terasa memberat. Setelah menaip beberapa muka surat untuk cerita terbarunya seperti yang diminta oleh seorang teman yang merupakan penerbit novel, Areesa terasa pandangannya berpinar-pinar. Sudah lama benar dia tidak menulis. Kali ini pun Areesa  memaksa ilham sekadar memenuhi permintaan temannya. Dan ternyata paksaan bukanlah cara terbaik buatnya.

            Malam telah begitu lewat. Esok masih hari bekerja baginya. Namun  percubaannya untuk melelapkan mata sejam yang lalu tidak berjaya.          Areesa cuba menulis pula. Menyambung cerita yang telah terbengkalai hampir tiga bulan itu. Masih juga tidak berjaya menemui konsentrasi.

Entah mengapa kebelakangan ini ingatan kepada Zaharris dan Wan Zaharris kerap kali bermain-main silih berganti di minda. Sehingga semalam sudah dua kali Wan Zaharris membungakan hasrat hatinya. Areesa bukan budak kecil yang tidak memahami perasaan manusia. Apatah lagi perasaan yang dikias dengan kata-kata dan riak wajah yang ketara.

            Namun pengalaman cinta bersama Zaharris telah begitu banyak menjejaskan keyakinannya pada keikhlasan dan kesungguhan cinta seorang lelaki. Sehingga Areesa tidak yakin lagi adanya lelaki yang sanggup menerima dirinya dengan sifat dan sikapnya yang seringkali dikatakan teman-temannya sebagai berbeza.

            Pengorbanannya menanti Zaharris sebegitu lama dengan penuh kepercayaan dan tanpa rasa sangsi akhirnya terbalas dengan airmata di akhir penantian. Dan alasan lelaki itu cuma  dia merasakan Areesa tidak pernah serius dalam percintaan mereka. Tidak pernah menyakinkan bahawa Areesa benar-benar bersungguh untuk mendirikan mahligai bahagia dengan dirinya.

            Akukah atau engkau? Seringkali hati kecilnya menangis setiapkali mempersoalkan kekesalan itu. Apakah ini cuma alasan seorang lelaki yang kabur penglihatan pada sebuah kejujuran yang tersembunyi. Butakah Zaharris bila kesetiaan dan kepercayaan yang diberikan sepenuh hati olehnya dianggap sebagai suatu ketidak-seriusannya dalam hubungan mereka.

            Malah pernah juga terlintas di hati untuk mengakui kebenaran peringatan yang diberikan oleh teman sebiliknya dulu, Vanshika Aliya. Sikap Areesa yang tidak pernah mengendahkan setiap pelawaan teman-teman lelaki di kampus mereka menjadikan Vanshika dan teman-teman yang lain  kehairanan.

            "You dah ada someone special ye Areesa?" pernah Vanshika menelah suatu malam ketika mereka sedang study bersama di dalam bilik.

            Areesa yang sedang  menelaah nota sambil berbaring di atas katil hanya ketawa pendek. "Kenapa tiba-tiba tanya macam tu pulak ni?" tanya Areesa nada hendak dengan tak hendak. Dia balikkan tubuh ke sisi kiri supaya dapat memandang teman sebiliknya itu dengan lebih jelas.

            Vanshika menuruti perlakuan Areesa dan duduk di birai katil sambil memeluk lutut. "I tengok you macam tak kisah je bila ada guys yang admire kat you. Ingat tak abang  Helmi yang selalu kirim salam pada you tu. Pun you endah tak endah je. Dia selalu juga tanya I pasal you." beritahu Vanshika.

            Areesa ketawa lagi sambil menutup buku yang dibaca. "OKlah, untuk roommate I ceritalah juga. Betul I dah ada kawan yang serius, that's why I  tak berapa nak layan sangat diorang tu. Tak baik main-mainkan perasaan orang lain."

            "You tak pernah cerita pun?" Vanshika bertanya lagi. Sengaja memancing cerita biarpun dia telah menduga sejak mula.

            "Tak ada orang tanya," kedua teman sebilik itu ketawa bersama.

            "Tapi...I tak pernah nampak pun gambar dia? Surat…" Vanshika mengerutkan keningnya cuba mengingatkan sesuatu, "surat pun tak ada kan?"

            Areesa tersenyum, "Gambarnya di sini," ujar Areesa sambil memegang dadanya, "suratnya di sini." sambil jarinya menunjukkan kepalanya.

            "Wah dahsyatnya you. Dia kat mana?"

            "Dia di US buat accountancy juga."

            "Wah, jauhnya. Tak pernah berutus surat?"

            Areesa senyum sambil menggeleng kepala. "Bagi I semua tu tak penting. Yang pentingnya kita saling memahami, saling percaya. Itu kan dah lebih dari cukup. Nanti kalau selalu sangat bergayut dan menulis surat ke, e-mail ke, tak ada benda lain dapat dibuat,  study pun entah ke mana nanti. Kita ni kan masih belajar lagi. Bagi I waktu inilah I dapat tunaikan tanggungjawab pada diri I dan ibubapa I sebelum menunaikan tanggungjawab pada seorang lelaki lepas berkahwin nanti. Betul tak Vanshika?" ujar Areesa panjang lebar.

Teman sebiliknya itu hanya mendiamkan diri memandang Areesa. Dan melihat renungan temannya itu, Areesa sudah tahu Vanshika  pastinya ada sesuatu untuk dikatakan.

"Lagipun I fikir, nak buat apa I risau pasal dia. Kami dah lama kawan sejak di kolej lagi. Masa dia kenal I dulupun I macam ini juga, dan dia terima I juga. So dia dah faham sikap I macamana." Areesa mengengsot perlahan mematikan lampu  study desk sebelum kembali berbaring.

            "Tapi orang lelaki tak sama hati macam kita Areesa. Nanti dia ingat  you tak endahkan dia. Lagi teruk kalau dia isi kesunyian dia kat sana dengan mencari temporary girlfriend. Kalau temporary tak apa, dibuatnya terus jadi permanent, macamana nanti?"

            Areesa berfikir sejenak. Memang kesangsian yang disuarakan oleh temannya itu bukanlah yang pertama kali didengarinya. Namun  Areesa lebih yakin dan percaya pada diri dan takdir tuhan hingga semua kata-kata itu didengarinya bagai angin lalu.

            "Vanshika…you pernah dengar tak pepatah Inggeris 'if you love someone, set him free. If he ever comes back he is yours, but if he doesn't he'll never be.'?" Areesa memandang Vanshika yang masih menekuni wajahnya.

            "I rasa ini pun suatu cara untuk melihat kejujuran dan sejauhmana kami ditakdirkan untuk bersama. Biarlah dia lihat dunia disekelilingnya dan orang-orang yang ada di dalamnya sepuas hati dia. Dan nanti bila dia sudah puas dengan apa yang dilihat dan dilaluinya, semoga dia akan tahu bahawa I adalah tetap yang  terbaik ditakdirkan untuk hidupnya."

            "I tak tahu nak cakap apa lagi Areesa. You ni kan macam kawan alien yang I tak  pernah jumpa lagi selama hidup I ni. Tak apalah, I tetap akan doakan semoga cinta you berdua akan diberkati tuhan selalu."

            Merenung kipas yang berpusing perlahan di siling waktu itu, Areesa tersenyum dalam pembaringannya. Senyuman yang sebenarnya lahir dari hati luka. Luka kerana apa yang diperkatakan teman-temannya  dari kebimbangan mereka menjadi kenyataan dalam kehidupannya.

            Benarkah? Benarkah tidak harus ada prinsip dalam percintaan? Benarkah kerana sikap degilnya sendiri Areesa telah kehilangan orang yang dicintai. Hilang segala keyakinan pada prinsip dan kepercayaan. Selama ini Areesa terlalu yakin kepercayaannya akan membuahkan kebahagiaan. Tetapi  kiranya kepercayaan itulah juga yang memusnahkan kegembiraan hidupnya, Areesa benar-benar kecewa dengan erti sebuah pegangan dan kepercayaan.

Pagi itu Areesa sedang membaca correspondence di partition Shuhaiza bila Wan Zaharris seperti selalu menyapanya, "Hai," dan berlalu ke mesin pendua di hujung sudut.

            Areesa hanya senyum lalu menyambung bacaannya semula.

            "Harris, 28th ni engkau pergi meeting kan?" tanya Robert yang sedang menulis sesuatu di atas whiteboard.

            "Shamsul pergi, aku tak payahlah." balas Wan Zaharris pula sambil menekan nombor-nombor di atas mesin faks.

            "Dia dah bagi memo, engkau pun kena pergi."

            "Yelah, nak bantai aku lagi lah tu. Bukan aku tak tahu."

            Areesa mengerling seketika mencari wajah Robert dan Wan Zaharris. Tersenyum kecil mendengar umpatan lelaki-lelaki itu. Namun Areesa tidak menyalahkan teman-teman sepejabatnya itu. Dia tahu benar sikap Encik Shamsul, sedang dia sendiri juga sering mengelak diri dari PCMnya itu.

            "Alah, apa susah …Cik Areesa sentiasa ada di sisi di saat En. Harris memerlukan," tiba-tiba Rizal menyampuk. Nadanya nakal.

            Bacaan Areesa terhenti pada perkataan terakhir ketika Rizal mengucapkan kata-kata itu. Dia tidak mengangkat wajahnya pun, namun dari hujung mata dia melihat Shuhaiza sedang menahan senyuman. Dan Areesa sudah dapat melihat senyuman nakal di wajah lain-lain yang mungkin mendengar usikan nakal Rizal itu.

            "Betul,"

            Areesa dapat mendengar suara Robert. Namun dia masih tidak berani mengangkat wajah.

            "Heh...heh…bertuahlah kau Harris. Ada orang yang boleh back you up. Jangan lepaskan peluang tu, itu dah petanda baik. Dia concern pasal kau tu." Robert giat mengusik.

            Areesa pejam mata seketika, tidak bergerak-gerak dari posisinya.

            Wan Zaharris tersenyum, kemudian berpaling memandang Areesa. Namun gadis itu hanya mendiamkan diri. Cuma Shuhaiza yang sedang duduk di kerusinya tersenyum nakal ke arahnya. "Betul, mulanya aku nampak ada sinar yang memberi harapan. Tetapi lepas tu sinaran tu macam semakin pudar dan pudar." ujar Wan Zaharris dengan nada yang kedengaran sungguh nakal.

            "Fullamak, cayalah En. Harris. Ada makna tu kan?" Rizal berkata pula. Semua yang berada di situ tertawa dengan gelagat Rizal.

            "So how, tunggu apa lagi ?"

            "Susahlah…"

            "Alah, apa susahnya, kau kena tahu password, lain-lain cauteam." Robert masih giat mengusik.

            Wan Zaharris menarik nafas panjang, tersenyum sewaktu Robert mengenyitkan matanya dan ketawa kecil bila gadis-gadis itu melirik nakal ke arahnya. "Passwordpassword…" Wan Zaharris berfikir-fikir dan kemudian tersenyum, "Tak perlu kot, aku pegi je jumpa orang tua dia, gerenti dapat punyalahkan," ujarnya. Wan Zaharris menoleh mencari wajah Areesa, kebetulan Areesa juga pantas mengangkat wajah bila mendengar kata-kata itu. Lalu mereka bertentangan mata. Bertentangan hati juga.



Posted at 07:17 am by nawrys
Make a comment  


******************************


Don't buy Vista Security
Next Page
© wordweave 2004-2005
These gardens are in my hometown
Archives
<< November 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30



Reads


nawrys
Female
Malaysia
SEANDAINYA................

Contact

   
Contact Me

Extras
random quote
Seandainya...




RSS Atom
rss feed


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:

BLOGDRIVE
TEMPLATES

In the Garden

Blogdrive

Thanks for stopping by!